Wednesday, September 23, 2009

Alkisahnya..



“Assalamu’alaikum…,” sapa perempuan tua berjubah serba hitam. Saya terhenti seketika, terkejut sebenarnya kerana beliau menunggu saya sedari tadi.

“Wa’alaikumussalam,” saya menjawab mesra. Lengan mak cik itu segera dipautkan ke lengan saya. Dia ingin saya membimbingnya berjalan menuju masjid di tepi rumah untuk solat terawih malam itu. Sungguh-sungguh membuatkan saya terkenang kepada arwah nenek saya, yang juga selalu ‘menyusahkan’ saya untuk membimbingnya satu ketika dulu.

“Izaiyyik?” Soalnya ingin saling berkenalan barangkali. Ah, masyarakat di sini memang ramah.

“Alhamdulillah,” jawab saya pendek. Cerita berterusan, sampailah kami masuk ke dalam masjid. Mengambil tempat masing-masing. Syukurlah malam ini tidak terlalu ramai orang. Masjid ini memang paling terkenal di tempat saya, paling besar juga saya kira. Menjadi tumpuan orang-orang ‘penting’ bertandang.

“Bila menteri datang ucapan lebih panjang daripada solat,” terimbau bebelan mak cik yang pernah duduk di sebelah saya ketika solat terawih satu ketika dulu. Tidak puas hati nampaknya, kerana apabila menteri-menteri datang maka masjid itu seolah-olah menjadi tempat berucap. Seingat saya Dr. M. Sayed Tantawi juga pernah datang ke situ, sehinggakan meriah dan bercahaya kawasan berhampiran rumah saya.

Kalau nasib ‘baik’, tengah-tengah bersolat habis dilanggar oleh orang-orang yang sibuk lalu-lalang. Dilanggar oleh mereka yang berbadan serba sasa, mahu tidak terpusing kita dibuatnya. Ya, pastikan saja dada itu menghadap kiblat. Pasakkan kaki seteguh-teguhnya, dan keraskan tubuh seperti tiang elektrik.

Insiden ‘berkasih-sayang’ juga selalu berlaku. Apalagi kalau bukan bertekak. Kerana sejadah, kerana jari ketika tahiyyat awal atau akhir, kerana…ah. Entah kerana apa lagi. Riuh juga kadang-kadang.

Yang pastinya kalau saya yang ditegur saya buat-buat tidak faham. Pernah juga teman yang meninggalkan solat sunat selepas Isya’ ditegur oleh seorang makcik menyuruhnya bersolat.

Tempat orang, raikan sajalah.

Teguran seorang mukmin kepada mukmin yang lainnya itu selalunya kerana ingin melihat perubahan. Meski terkadang keras bunyinya, dengarlah apa yang diperkata. Seperti seorang ibu yang giat membebel kepada anaknya, rupanya sayangnya tidak terhingga. Dan bukan menjadi kehairanan si anak itu merajuk marah, kerana dia tidak tahu bahawa si ibu itu terlalu sayang akan dirinya!

Begitulah terkadang melihat gelagat manusia di rumah Allah ini. Saling tegur-menegur walaupun terkadang yang ditegur menarik muka masam. Kalau tidak sayang masakan mahu dibetulkan.

“Kamu ini kurang tarbiyyah!”

Maksudnya jangan malas-malas pergi kelas dan tambahkan ilmu. Dia mahu yang ditegur itu ikut sama hebat seperti dirinya.

“Kamu ini kurang tadhiyyah!”

Maksudnya jangan mementingkan diri sahaja, korbankanlah diri untuk kebaikan yang lain juga.

Akhirnya…

“Ya, tarbiyyah ada yang kurang. Sehingga anak-anak tidak faham. Kita kemaskan tarbiyyah.”

“Ya, gerak kerja masih lembap. Kita sepadukan semua.”

“Ya, kita tidak boleh malas berusaha. Muslim mesti rajin!”

Segala puja dan puji itu kita kembalikan kepada Allah jua. Yang menentukan hikmah di balik tiap-tiap kejadian. Tidak sia-sia ibu itu membebel menyuruh anak mendengar.

Anak kadang-kadang dipujuk lembut tidak mengerti. Terus-terusan tidur dengan selimutnya.

Provokasi yang berhasil. Yess!

Salam ramadhan semua…

0 comments: